Berwuduk ketika hadas besar.



بسم الله الرحمن الرحيم

Orang yang berhadas kecil diwajibkan mengambil wudhu untuk mengangkat hadasnya itu bagi membolehkannya melaksanakan ibadah-ibadah tertentu seperti sembahyang, tawaf sama ada wajib atau sunat, sujud syukur atau tilawah dan seumpamanya.

Namun tuntutan tersebut tidak hanya pada ibadah yang menjadikan wudhu sebagai syarat sah perlaksanaannya, malahan juga dituntut pada keadaan-keadaan yang lain walaupun tuntutan itu hanya berupa sunat semata-mata seperti ketika sedang marah, membaca alQur’an (bukan dengan memegangnya) atau mendengar al-Qur’an, membaca dan mendengar Hadits, memegang kitab-kitab agama seperti kitab-kitab Tafsir atau Fiqh, membaca atau belajar ilmuilmu syara‘ dan membacakannya, ketika masuk atau duduk di dalam masjid, ketika hendak tidur dan sebagainya.


Di samping itu disunatkan juga untuk sentiasa mengekalkan wudhu kerana amalan mengekalkan wudhu mendatangkan manfaat yang besar kepada orang yang sentiasa mengamalkannya seperti meluaskan rezekinya, disukai oleh malaikat Hafazhah, menjadi benteng (pendinding) dan juga memelihara dirinya daripada melakukan perkara atau perbuatan maksiat.

Mengekalkan wudhu bagi orang yang berhadas kecil bukanlah suatu perkara yang susah. Mereka boleh saja berwudhu semula jika batal wudhunya atau terus memperbaharui wudhu mereka jika masih dalam keadaan berwudhu bila-bila masa saja yang mereka kehendaki.

Melihat kepada tuntutan dan keutamaan wudhu ke atas orang yang berhadas kecil, apakah orang yang berhadas besar juga dituntut dan boleh melaksanakannya?Bagaimanakah kedudukan mereka dalam hal wudhu ini?

Apakah Hukum Bagi Orang Yang Berhadas Besar Mengambil Wudhu?

 Orang yang berhadas besar itu adalah mereka yang berada dalam keadaan berjunub dan perempuan yang dalam keadaan haidh atau nifas. Namun dua keadaaan ini mempunyai kedudukan hukum yang berbeza kerana keadaannya masing-masing.

I. Orang yang berjunub mengambil wudhu


Disunatkan bagi orang yang berjunub yang belum mandi wajib untuk mengambil wudhu apabila hendak tidur, makan dan minum dan juga ketika hendak mengulang semula persetubuhan. 

Diriwayatkan daripada Sayyidatuna ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha, beliau menceritakan: Maksudnya:
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila hendak tidur, sedangkan Baginda berada dalam keadaan junub, Baginda membasuh kemaluan Baginda (terlebih dahulu) dan
mengambil wudhu (sepertimana wudhu) untuk sembahyang.”

(Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat lain pula, Sayyidatuna ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha berkata:
Maksudnya:
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila dalam keadaan junub lalu Baginda hendak makan atau tidur, Baginda mengambil wudhu sepertimana wudhu Baginda untuk
sembahyang.”

(Hadits riwayat Muslim)


Kedua hadits di atas adalah dalil mengenai sunat bagi orang yang berjunub untuk mengambil wudhu sebelum tidur atau sebelum makan dan minum. Manakala dalil mengenai dengan sunat berwudhu sebelum mengulangi semula persetubuhan bagi orang yang berjunub itu adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudriy Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


Maksudnya:
“Apabila salah seorang daripada kamu mendatangi (menyetubuhi) isterinya, kemudian ingin mengulangi lagi, maka (sebaiknya) hendaklah dia mengambil wudhu.”

(Hadits riwayat Muslim)


Imam an-Nawawi Rahimahullah menerangkan bahawa hadits-hadits tersebut di atas memberi maksud bahawa orang yang berhadas besar (berjunub) jika dia hendak tidur, makan, minum
atau bersetubuh lagi dengan isteri yang telah disetubuhinya atau isterinya yang lain, adalah disunatkan terlebih dahulu mengambil wudhu serta membasuh (membersihkan) kemaluannya (sebelum berwudhu). Beliau juga menyebut bahawa para ulama asySyafi‘iyyah berpendapat adalah makruh hukumnya ke atas orang yang berhadas besar (berjunub) untuk tidur, makan, minum dan bersetubuh sebelum berwudhu.

Hikmah Sunat Berwudhu Ke Atas Orang Yang Junub

Terdapat beberapa pendapat ulama mengenai hikmah disunatkan berwudhu ke atas orang yang berjunub jika dia hendak tidur, makan, minum dan bersetubuh. Antaranya:

Pendapat pertama: Untuk meringankan hadas kerana wudhu berperanan untuk mengangkat hadas daripada anggota-anggota wudhu. Demikian juga, ia bermaksud bagi tujuan kebersihan.

Pendapat kedua: Dengan wudhu merangsang seseorang untuk mandi apabila air terkena pada anggota-anggota wudhu.

Pendapat ketiga: Bertujuan agar seseorang itu tidur dalam keadaan suci dari salah satu dua hadas (hadas kecil dan besar) kerana ditakuti dia menemui ajalnya di dalam tidur.

II. Hukum perempuan yang dalam haidh dan nifas mengambil wudhu 

Hukum berwudhu bagi perempuan yang dalam haidh atau nifas itu terbahagi kepada dua:


I. Jika darah haidh atau darah nifasnya masih keluar (belum kering), tidak disunatkan baginya untuk berwudhu.

Ini adalah kerana wudhu tidak memberi apa-apa kesan pada mengangkat hadas perempuan haidh atau nifas yang masih keluar darahnya. Maka tidak sah bersuci daripada hadas ketika darah haidh atau nifas masih keluar.

II. Jika darah haidh atau nifasnya sudah berhenti (kering) tetapi dia belum mandi wajib, maka disunatkan ke atasnya untuk mengambil wudhu jika dia hendak tidur, makan atau minum.


Ini kerana apabila darah haidh atau nifas perempuan tersebut sudah berhenti, maka hukumnya adalah seperti orang yang berjunub; iaitu sunat ke atasnya mengambil wudhu jika dia hendak tidur, makan atau minum kerana ia memberi kesan pada hadasnya (terangkat hadas kecil).

Berdasarkan penerangan di atas, tiada halangan bagi orang yang berjunub dan juga perempuan yang kering haidhnya tetapi belum mandi wajib untuk mengambil wudhu pada waktu-waktu tertentu sebagaimana yang disebutkan di dalam beberapa hadits. Sekurang-kurangnya dengan melakukan wudhu dapat meringankan hadas yang ditanggung oleh keduanya sebelum mandi untuk mengangkat hadas.

Sumber : Mufthi Brunei 

0 comments :

Post a Comment

6 Jenis Wanita Tidak Layak Dijadikan Isteri.



1- Al-Anaanah 
Banyak mengeluh.. Selalu merasa
tidak cukup (sempurna),
apa yang diberi semua tidak cukup.. Diberikan rumah tak cukup, diberi motor tak cukup, diberi kereta tak cukup.. Selalu ingin memenuhi kehendak nafsu sendiri tanpa memperdulikan perasaan suami, tidak hormat kepada suami apalagi berterima kasih pada suami.. Apa yang suami beri tidak pernah puas.. Ada saja yang tidak cukup..

2- Al-Manaanah
Suka mengungkit.. Kalau suami suka melakukan perkara yang dia tidak berkenan, maka diungkitlah segala hal tentang suaminya itu.. Sangat senang membicarakan suami dengan tajuk seperti tak ingat budi,tak bertanggungjawab, tak sayang,dll.Padahal suami sudah memberi perlindungan bermacam-macam padanya.. 

3- Al-Hunaana
Ingin pada suami yang lain atau berkenan kepada lelaki yang lain.. Sangat suka membanding-bandingkan suaminya dengan suami / lelaki lain..Tidak redha dengan suami yang ada.. (Naudzubillah)
4- Al-Hudaaqah
Suka memaksa.. Bila ingin sesuatu maka dipaksa suaminya melakukannya.. Pagi, petang dan malam asyik menekan dan memaksa suami.. Adakalanya dengan berbagai ancaman seperti ingin lari, ingin bunuh diri, ingin membuat suami malu dll..Suami dibuat seperti kebudak-budakkan, bukan sebagai pemimpinnya.. Yang dipentingkan adalah kehendak dan kepentingan dia saja..
5- Al-Hulaaqa
Sibuk bersolek, tidur atau santai-santai hingga lalai dengan ibadah-ibadah seperti solat berjemaah,wirid zikir, mengurus rumah-tangga, berkasih sayang dengan anak-anak, dll..
6- As-Salaaqah
Banyak bercakap, bergosip dan mengumpat.. Siang malam, pagi petang asik bergosip saja..Apa saja yg suami kerjakan selalu tidak benar dimatanya..

0 comments :

Post a Comment

Sunnah letak tangan di ubun isteri.



Amalan Sunnah Nabi SAW yang jarang dipraktikkan oleh pasangan yang baru berkahwin pada hari ini ialah di mana Suami meletakkan tangan di ubun kepala isteri sambil membaca doa :


"Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan
segala yang Engkau ciptakan pada dirinya. Dan aku berlindung
kepada-Mu daripada keburukannya dan segala keburukan
yang Engkau ciptakan pada dirinya." (Riwayat Abu Daud )

Lafaz merupakan suatu kata-kata yang diucapkan oleh seseorang bagi menyampaikan maksud yang hendak dikatakan. Dalam perkahwinan, lafaz memainkan peranan penting terutama bagi menjayakan acara akad nikah dan juga memberikan kesan dalam hati atas apa yg diucapkan. Masa kini yakni zaman serba moden, lafaz-lafaz akujanji dan pengakuan makin ditinggalkan serta tidak dipedulikan. Lalu ia tidak memberikan kesan dan impak dalam hati seseorang yang berkahwin. Berikut di bawah ini antara lafaz-lafaz yang baik untuk suatu majlis akad nikah :

Lafaz Yang Elok Diamalkan Dalam Majlis Akad Nikah

1) LAFAZ PENYERAHAN MAS KAHWIN (DIBACA OLEH PENGANTIN LELAKI SELEPAS SELESAI AKAD NIKAH)

Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin kepada pengantin perempuan dengan membaca:

“Adalah saya (nama pengantin lelaki) suami kepada (nama pengantin perempuan) yang telah menerima tanggungjawab, dengan ini menyerahkan kepada isteriku mas kahwin (nilai mas kahwin) tunai. Oleh itu isteriku hendaklah dikau menunjukkan taat setia kepada diriku sebagai suami dan mengikut segala perintah dan nasihatku selagi mana ianya tidak bercanggah dengan hukum Islam..”

Kemudian dikehendaki suami memegang ubun-ubun isteri dengan tangan kanan lalu membaca ‘Basmalah’ dan doa berikut  :


“Ya Allah, aku bermohon kepadamu kebaikannya dan kebaikan
yang Engkau ciptakan padanya dan aku berlindung padaMu daripada keburukannya dan keburukan yang Engkau ciptakan padanya.”

2) LAFAZ PENERIMAAN MAS KAHWIN (DIBACA PENGANTIN PEREMPUAN) 

Setelah selesai penyerahan tersebut isteri hendaklah mencium tangan suami dengan berdoa di dalam hati : 


“Ya Allah, jadikanlah suamiku ini suami yang soleh
dan pembimbing yang baik di dunia dan akhirat..”

Kemudian barulah isteri membaca lafaz penerimaan mas kahwin : 

“Adalah saya (nama pengantin perempuan), isteri kepada (nama pengantin lelaki) dengan penuh kesyukuran menerima mas kahwin ini sebagai tanda ikatan murni dan suci. Saya akan menumpukan sepenuh perhatian dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada suamiku dan mengharapkan agar suamiku sentiasa memberi bimbingan dan nasihat serta tunjuk ajar demi kepentingan dan kebahagiaan bersama. Semoga perkahwinan ini mendapat restu dan redha dari Allah SWT...”

3) PENYERAHAN TANGGUNGJAWAB WALI KEPADA PENGANTIN LELAKI (DIBACA OLEH WALI KEPADA PENGANTIN PEREMPUAN) 

Dilakukan oleh wali perempuan atau wakilnya dan disaksikan oleh keluarga kedua-dua belah pihak. Lafaz penyerahan tanggungjawab adalah seperti berikut : 

“Adalah saya (nama wali pengantin perempuan), wali kepada nama pengantin perempuan dari saat ini menyerahkan tanggungjawab nafkah, perlindungan, keselamatan, kasih sayang dan tanggungjawab agama Islam kepada kamu (nama pengantin lelaki) sebagai suami yang sah. Semoga diberkati oleh Allah s.w.t ke atas kamu dan orang yang di bawah tanggungan kamu serta zuriat keturunan kamu. Amin...” 

4) PESANAN IBU KEPADA ANAK PEREMPUAN (DIBACA OLEH IBU KEPADA PENGANTIN PEREMPUAN)

“Anakku (nama pengantin perempuan), hari ini kamu akan berpindah dari naungan dan perlindungan ayah ibu ke suatu alam yang baru di bawah naungan suamimu. Ayah ibu telah mendidik dan mengasuhmu sebaik mungkin untuk menjadikan dirimu seorang anak yang solehah. Hari ini ayah ibu mengharapkan kepadamu untuk melaksanakan segala tunjuk ajar dan nasihat ayah ibu selama ini. Jadikanlah dirimu seorang isteri yang solehah nescaya suamimu akan menjadi teman yang mesra kepadamu. Berikanlah khidmat dan ketaatanmu kepadanya dengan jujur dan ikhlas. Hendaklah kamu menjaga perkataanmu dan budi pekertimu serta tingkahlaku terhadapnya. Jagalah maruah dirimu dan jagalah maruah keluargamu. Taatilah Allah sepanjang hidupmu, semoga Allah memberikan ketabahan, keafiatan, ketenangan dan kebahagiaan kepada kamu. Ayah ibu memohon kemaafan di atas segala kesilapan dan kesalahan semasa mendidikmu...”

5) TERIMA KASIH DARI ANAK (DIBACA OLEH PENGANTIN PEREMPUAN) 

“Wahai ibu ayah, budi dan jasamu selama ini tidak dapat saya balas. Hari ini saya akan berpindah dari naungan dan perlindungan ibu ayah ke suatu alam baru yang belum saya tahu. Saya memohon doa restu ibu ayah agar saya dapat menghadapi segala cabaran rumahtangga dengan sabar dan redha. Saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga di atas segala bimbingan, nasihat serta kasih sayang yang tidak ternilai. Saya memohon ampun maaf di atas segala kesilapan dan kesalahan saya selama berada bersama ibu ayah. Terima kasih ibu ayah..” Kemudian salam dan cium tangan ibu ayah.

6) PENERIMAAN TANGGUNGJAWAB (DIBACA PENGANTIN OLEH LELAKI)

“Dengan ini saya (nama pengantin lelaki), suami yang sah kepada (nama pengantin perempuan) bersyukur kepada Allah di atas anugerah nikmat Iman, Islam, kesihatan dan isteri serta berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan majlis akad nikah ini. Oleh itu, mulai saat ini saya menerima tanggungjawab sebagai suami kepada isteri saya (nama pengantin perempuan) dan akan berusaha dengan sebaik-baiknya untuk menjalankan tugas sebagai suami seperti berikut : 

1 - Memberi nafkah zahir dan batin.
2 - Penjagaan dan perlindungan yang sempurna.
3 - Keselamatan yang terjamin.
4 - Memberi bimbingan dan panduan ke jalan yang diredhai Allah.

Saya mengharapkan doa restu dari semua pihak terutama ibu bapa tersayang dan ibu bapa mertua saya. Semoga perkahwinan ini mendapat restu dan redha Allah...”

Semoga pasangan yang akan bernikah selepas ini dapat mengamalkan lafaz-lafaz di atas agar ia memberikan kesan atas setiap individu yang berjanji akan menyempurnakan tugas dan tanggungjawab mereka dalam mewujudkan kebahagiaan di alam rumahtangga.

SUMBER ^_^

0 comments :

Post a Comment

Jenis-jenis hadis.



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 


Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya. Bila timbul isu anti hadis, maka timbullah minat masyarakat untuk mengetahui ilmu tentang hadis. Mamahami ilmu hadis, membolehkan kita beramal dengan hadis yang sahih, menolak tuduhan golongan anti hadis dan dapat mengetahui unsur-unsur israilliat dalam pentafsiran Al-Quran.

Apakah pengertian Hadis? Hadis ialah perkataan, perbuatan, perkhabaran, taqrir dan sifat yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Diantara fungsi hadis ialah mengukuhkan hukum yang telah ditentukan di dalam Al-Quran, mentafsir ayat Al-Quran yang mujmal, mentaqyidkan ayat Al-Quran yang mutlak, mentakhsiskan ayat Al-Quran yang umum dan menetapkan hukum yang tiada dalam Al-Quran. Terdapat begitu banyak pembahagian hadis dan jenis-jenisnya, antaranya ;

1. Apakah makna Hadis Qudsi ? Ialah sesuatu yang dikhabarkan oleh Allah kepada Rasulullah s.a.w melalui ilham atau mimpi kemudian baginda menyampaikan dengan menggunakan perkataan baginda sendiri. Contoh :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ” قَالَ اللَّهُ: أَنْفِقْ يَا ابْنَ آدَمَ، أُنْفِقْ عَلَيْكَ
Diriwayatkan dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah saw bersabda, “Allah SWT berfirman, berinfaklah wahai anak adam, (jika kamu berbuat demikian) Aku memberi infak kepada kalian."
(HR : Bukhari dan Muslim)

2. Hadis Mutawatir ialah hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh ramai sahabat. Diantara syarat-syarat Hadis Mutawatir ialah diriwayatkan oleh perawi yang ramai yang mencapai satu tahap mustahil untuk mendustakan hadis Rasullah s.a.w. Jumlah perawi seimbang pada setiap peringkat dan hadis diterima melalui pendengaran dan penglihatan. Maka, kita wajib beriman dengan Hadis Mutawatir dan menolaknya adalah jatuh kafir @ kufur.

3. Hadis Ahad pula ialah hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi atau dua orang atau lebih yang tidak memenuhi syarat-syarat Hadis Mutawatir. Hukum beramal dengan Hadis Ahad ialah wajib beramal dan berhujah pada setiap Hadis Ahad tetapi tidak kufur sesiapa yang menolaknya.

4. Masih ada lagi jenis hadis seperti Hadis Aziz, Hadis Gharib dan Hadis Masyhur. Hadis Aziz ialah suatu hadis yang diriwayatkan oleh dua orang perawi pada setiap peringkat manakala Hadis Gharib ialah suatu hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi pada mana-mana peringkat sanad. Hadis Mashyur pula ialah hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang perawi @ lebih pada setiap peringkat tetapi tidak sampai had dan tahap Hadis Mutawatir.

5. Bagaimana pula dengan Hadis Sahih, Hadis Hasan dan Hadis Dhaif ? Hadis menjadi Hadis Sahih sekiranya menepati syarat Hadis Sahih seperti perawi bersifat adil, bersambung sanad, tiada syaz, tiada I’llah dan bersifat dhabit (kuat ingatan). Sekiranya kurang satu daripada syarat-syarat di atas jatuhlah dia sebagai Hadis Hasan. Walaubagaimanapun, kedua-dua martabat hadis ini wajib beriman dengannya dan hadis ini boleh dijadikan hujah. Sifat perawi yang adil adalah islam, baligh, berakal, tidak fasik dan tidak melakukan perkara yang menjatuhkan maruah diri.

6. Hadis Dhaif pula merupakan hadis yang lemah. Walaupun begitu, kita dibolehkan untuk beramal dengan Hadis Dhoiif tetapi hadis ini tidak boleh dijadikan hujah. Cara untuk beramal dengan Hadis Dhaif ialah hadis itu mestilah berkaitan dengan fadhailul amal (fadhilat beramal) sahaja, faktor kedhaifan bersifat sederhana dan mafhum Hadis Dhaif ada pada nas-nas syara' yang sahih.

7. Hadis Maudhu’ ialah hadis palsu, apa-apa yang direka dan disandarkan kepada Nabi saw atau selainnya dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan atau sifat baginda tetapi secara dusta.

KESIMPULAN :
Sekurang-kurangnya selepas ini, apabila disebut hadis kita tahu serba sedikit. Bukan semestinya kita wajib ingat semuanya, memahami sudah memadai sebagai seorang yang mengaku dan disahkan Islam dalam IC !
Wallahu a'lam

2 comments :

Post a Comment