Sunnah letak tangan di ubun isteri.
Amalan Sunnah Nabi SAW yang jarang dipraktikkan oleh pasangan yang baru berkahwin pada hari ini ialah di mana Suami meletakkan tangan di ubun kepala isteri sambil membaca doa :
"Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan
segala yang Engkau ciptakan pada dirinya. Dan aku berlindung
kepada-Mu daripada keburukannya dan segala keburukan
yang Engkau ciptakan pada dirinya." (Riwayat Abu Daud )
Lafaz merupakan suatu kata-kata yang diucapkan oleh seseorang bagi menyampaikan maksud yang hendak dikatakan. Dalam perkahwinan, lafaz memainkan peranan penting terutama bagi menjayakan acara akad nikah dan juga memberikan kesan dalam hati atas apa yg diucapkan. Masa kini yakni zaman serba moden, lafaz-lafaz akujanji dan pengakuan makin ditinggalkan serta tidak dipedulikan. Lalu ia tidak memberikan kesan dan impak dalam hati seseorang yang berkahwin. Berikut di bawah ini antara lafaz-lafaz yang baik untuk suatu majlis akad nikah :
Lafaz Yang Elok Diamalkan Dalam Majlis Akad Nikah
1) LAFAZ PENYERAHAN MAS KAHWIN (DIBACA OLEH PENGANTIN LELAKI SELEPAS SELESAI AKAD NIKAH)
Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin kepada pengantin perempuan dengan membaca:
“Adalah saya (nama pengantin lelaki) suami kepada (nama pengantin perempuan) yang telah menerima tanggungjawab, dengan ini menyerahkan kepada isteriku mas kahwin (nilai mas kahwin) tunai. Oleh itu isteriku hendaklah dikau menunjukkan taat setia kepada diriku sebagai suami dan mengikut segala perintah dan nasihatku selagi mana ianya tidak bercanggah dengan hukum Islam..”
Kemudian dikehendaki suami memegang ubun-ubun isteri dengan tangan kanan lalu membaca ‘Basmalah’ dan doa berikut :
“Ya Allah, aku bermohon kepadamu kebaikannya dan kebaikan
yang Engkau ciptakan padanya dan aku berlindung padaMu daripada keburukannya dan keburukan yang Engkau ciptakan padanya.”
2) LAFAZ PENERIMAAN MAS KAHWIN (DIBACA PENGANTIN PEREMPUAN)
Setelah selesai penyerahan tersebut isteri hendaklah mencium tangan suami dengan berdoa di dalam hati :
“Ya Allah, jadikanlah suamiku ini suami yang soleh
dan pembimbing yang baik di dunia dan akhirat..”
Kemudian barulah isteri membaca lafaz penerimaan mas kahwin :
“Adalah saya (nama pengantin perempuan), isteri kepada (nama pengantin lelaki) dengan penuh kesyukuran menerima mas kahwin ini sebagai tanda ikatan murni dan suci. Saya akan menumpukan sepenuh perhatian dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada suamiku dan mengharapkan agar suamiku sentiasa memberi bimbingan dan nasihat serta tunjuk ajar demi kepentingan dan kebahagiaan bersama. Semoga perkahwinan ini mendapat restu dan redha dari Allah SWT...”
3) PENYERAHAN TANGGUNGJAWAB WALI KEPADA PENGANTIN LELAKI (DIBACA OLEH WALI KEPADA PENGANTIN PEREMPUAN)
Dilakukan oleh wali perempuan atau wakilnya dan disaksikan oleh keluarga kedua-dua belah pihak. Lafaz penyerahan tanggungjawab adalah seperti berikut :
“Adalah saya (nama wali pengantin perempuan), wali kepada nama pengantin perempuan dari saat ini menyerahkan tanggungjawab nafkah, perlindungan, keselamatan, kasih sayang dan tanggungjawab agama Islam kepada kamu (nama pengantin lelaki) sebagai suami yang sah. Semoga diberkati oleh Allah s.w.t ke atas kamu dan orang yang di bawah tanggungan kamu serta zuriat keturunan kamu. Amin...”
4) PESANAN IBU KEPADA ANAK PEREMPUAN (DIBACA OLEH IBU KEPADA PENGANTIN PEREMPUAN)
“Anakku (nama pengantin perempuan), hari ini kamu akan berpindah dari naungan dan perlindungan ayah ibu ke suatu alam yang baru di bawah naungan suamimu. Ayah ibu telah mendidik dan mengasuhmu sebaik mungkin untuk menjadikan dirimu seorang anak yang solehah. Hari ini ayah ibu mengharapkan kepadamu untuk melaksanakan segala tunjuk ajar dan nasihat ayah ibu selama ini. Jadikanlah dirimu seorang isteri yang solehah nescaya suamimu akan menjadi teman yang mesra kepadamu. Berikanlah khidmat dan ketaatanmu kepadanya dengan jujur dan ikhlas. Hendaklah kamu menjaga perkataanmu dan budi pekertimu serta tingkahlaku terhadapnya. Jagalah maruah dirimu dan jagalah maruah keluargamu. Taatilah Allah sepanjang hidupmu, semoga Allah memberikan ketabahan, keafiatan, ketenangan dan kebahagiaan kepada kamu. Ayah ibu memohon kemaafan di atas segala kesilapan dan kesalahan semasa mendidikmu...”
5) TERIMA KASIH DARI ANAK (DIBACA OLEH PENGANTIN PEREMPUAN)
“Wahai ibu ayah, budi dan jasamu selama ini tidak dapat saya balas. Hari ini saya akan berpindah dari naungan dan perlindungan ibu ayah ke suatu alam baru yang belum saya tahu. Saya memohon doa restu ibu ayah agar saya dapat menghadapi segala cabaran rumahtangga dengan sabar dan redha. Saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga di atas segala bimbingan, nasihat serta kasih sayang yang tidak ternilai. Saya memohon ampun maaf di atas segala kesilapan dan kesalahan saya selama berada bersama ibu ayah. Terima kasih ibu ayah..” Kemudian salam dan cium tangan ibu ayah.
6) PENERIMAAN TANGGUNGJAWAB (DIBACA PENGANTIN OLEH LELAKI)
“Dengan ini saya (nama pengantin lelaki), suami yang sah kepada (nama pengantin perempuan) bersyukur kepada Allah di atas anugerah nikmat Iman, Islam, kesihatan dan isteri serta berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan majlis akad nikah ini. Oleh itu, mulai saat ini saya menerima tanggungjawab sebagai suami kepada isteri saya (nama pengantin perempuan) dan akan berusaha dengan sebaik-baiknya untuk menjalankan tugas sebagai suami seperti berikut :
1 - Memberi nafkah zahir dan batin.
2 - Penjagaan dan perlindungan yang sempurna.
3 - Keselamatan yang terjamin.
4 - Memberi bimbingan dan panduan ke jalan yang diredhai Allah.
Saya mengharapkan doa restu dari semua pihak terutama ibu bapa tersayang dan ibu bapa mertua saya. Semoga perkahwinan ini mendapat restu dan redha Allah...”
Semoga pasangan yang akan bernikah selepas ini dapat mengamalkan lafaz-lafaz di atas agar ia memberikan kesan atas setiap individu yang berjanji akan menyempurnakan tugas dan tanggungjawab mereka dalam mewujudkan kebahagiaan di alam rumahtangga.
SUMBER ^_^
0 comments :
Post a Comment