Antara cara syaitan menyesatkan kita.


Syaitan telah berjanji di hadapan Allah bahawa dia akan menyesatkan dengan pelbagai bentuk cara dan keadaan,hakikat ini dirakamkan dalam al-Quran:
قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ () ثُمَّ لَآَتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ
Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan (menghalangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus. kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)” (Al-`Aaraf: 17)
Inilah janji iblis dan tentera-tenteranya iaitulah syaitan dikalangan jin dan manusia,mereka akan berusaha untuk menyesatkan manusia daripada jalan yang lurus:
وقوله: {ثم لآتينهم من بين أيديهم ومن خلفهم} الآية، قال ابن عباس: {ثم لآتينهم من بين أيديهم} أشككهم في آخرتهم {ومن خلفهم} أرعبهم في دنياهم {وعن أيمانهم} أشبه عليهم أمر دينهم {وعن شمائلهم} أشهي لهم المعاصي
Berkata Ibnu `Abbas radiallahu`anhuma ketika menafsirkan ayat di atas:
“datang dari muka(hadapan)manusia, bermaksud dia akan menimbulkan syak(keraguan)terhadap hari akhirat,dan dia datang dari belakang,iaitulah dia menggalakkan atau menakutkan manusia tentang dunia mereka,ia datang dari kanan mereka iaitulah dia menimbulkan kesamaran pada urusan agama mereka dan ia datang dari kiri manusia iaitulah dia menjadikan lazat(membangkitkan)syahwat kepada mereka terhadap maksiat” (Tafsir al-Quran al-`Azhim,Ibn Kathir,1/152)
Begitu juga langkah-langkah syaitan sangat berbahaya dan halus sehingga Allah Ta`ala memerintahkan agar kita menjauhi langkah-langkah syaitan,FirmanNya:
وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ () إِنَّمَا يَأْمُرُكُمْ بِالسُّوءِ وَالْفَحْشَاءِ وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
“dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan,kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.” (Al-Baqarah:169)
Berdasarkan huraian Ibnu `Abbas radiallahu`nhuma dan ayat di atas kita mendapati beberapa cara dan langkah-langkah yang digunakan oleh syaitan untuk menyesatkan manusia antaranya:
1. Menimbulkan syak(keraguan) terhadap hari akhirat.
Hari akhirat adalah termasuk dalam perkara-perkara berkaitan keimanan dan akidah.Praktikalnya,apabila iblis dan syaitan menyerang keyakinan kita akan hari akhirat,maka secara automatik keraguan akan timbul dalam hati kita.Ketika itu hilang dalam hati dan fikiran kita akan Maha Melihatnya Allah,malaikat,dosa dan pahala,syurga dan neraka.Apabila iblis dan syaitan berjaya menimbulkan keraguan dalam keimanan kita maka ketika itu,kita akan melakukan dosa dan perkara yang dilarang oleh Allah.
Ketika itu kita sudah terjerat dalam perangkap iblis yang berjaya dengan rancangannya.Maka ketika itu,dosa dan maksiat seperti syirik,bid`ah,berzina,mengumpat,mendedahkan aurat,minum arak dan sebagainya dilakukan tanpa ada rasa bersalah.Hal ini berlaku kerana mereka tidak yakin dengan Allah dan berita-berita yang disampaikan oleh al-Quran dan As-Sunnah seperti firmanNya:
أَلَا إِنَّهُمْ فِي مِرْيَةٍ مِنْ لِقَاءِ رَبِّهِمْ أَلَا إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ مُحِيط
“Ingatlah bahawa sesungguhnya mereka adalah dalam keraguan tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah bahawa sesungguhnya Dia Maha Meliputi segala sesuatu” (Fusshilat: 54)
2. Menimbulkan kesamaran dan memerintahkan agar bercakap tentang Allah tanpa ilmu.
Antara jalan yang digunakan oleh iblis dan syaitan untuk menyesatkan manusia ialah dengan menimbulkan kesamaran terhadap mereka antaranya ialah iblis menimbulkan kesamaran diantara syirik dengan Tauhid,Sunnah dengan bid`ah yang halal dengan yang haram,perkara yang boleh memasukkan ke syurga ataupun ke neraka.
Hal ini boleh diatasi hanyalah dengan jalan menuntut dan mendalami ilmu agama berdasarkan Al-Quran dan sunnah Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam serta mengikuti manhaj Salafussoleh.
Begitulah juga mereka yang bermudah-mudah berkata tentang Allah atau Sifat-sifatNya,dan berkenaan agamaNya tanpa ilmu dan petujuk yang benar,mereka yang telah terpedaya dengan perintah syaitan agar berkata tentang Allah tanpa ilmu terdiri daripada orang-orang Yahudi dan Nasrani serta kebanyakan ahli bid`ah seperti Syiah,Muktazilah,Jahmiyyah,Khawarij,Sufiyyah dan Asya`irah,mereka terperangkap dengan tipu daya syaitan ini lalu terjatuh dalam bid`ah-bid`ah mereka apabila mereka bercakap tentang Allah dan agamanya tanpa ilmu dan petunjuk Salaf,mereka yang melakukan perkara sebegini jelaslah mereka telah berjaya diperdaya oleh Iblis dan tenteranya.
Antara contoh petunjuk Nabi sallallahu`alaihiwasallam menjelaskan solusi untuk masalah ini:
يأتي الشيطان أحدكم فيقول فمن خلق كذا من خلق كذا؟ حتى يقول :من خلق ربك ,فإذا بلغه فليستعذ بالله ولينته.
Syaitan akan datang kepada kamu, dan berkata:”siapakah yang mencipta ini ?,dan ini?, hinggalah dia berkata: “Siapa yang mencipta Tuhanmu?, jika sampai kepadanya (syak tersebut) maka hendaklah dia isti`azah minta perlindungan kepada Allah dan berhenti (dari memikirkannya)” (HR Bukhari dlm Khalq `Afalul`Ibad 11,Bab Sifat Iblis dan tenteranya,Imam Al-Asbahani , Al-Hujjah fi bayan Al-Mahajjah m/s;108)
Satu lagi petunjuk Nabawiyyah dlm masalah mengekang bisikan syaitan tersebut ke dalam hati kita,sebagaimana sabda Nabi sallalalhu`alaihiwasallam:
إن أحدكم يأتيه الشيطان فيقول: من خلقك؟ فيقول: الله، فيقول: فمن خلق
الله؟! فإذا وجد ذلك أحدكم فليقرأ: آمنت بالله ورسله، فإن ذلك يذهب عنه “.
“Sesungguhnya salah seorang dikalangan kamu akan didatangi syaitan lalu dia berkata: ” siapakah yg menciptamu?” ,lalu dia menjawab Allah, lalu dia bertanya lagi ;” siapa Allah?” sesiapa yang mendapati keadaan tersebut dikalangan kamu maka bacalah;” aku beriman dengan Allah dan rasul-rasulNya, maka sesungguhnya hal tersebut menghilangkan was-was darinya” (HR Ahmad, Silsilah As-Shahihah no:116)
Selain itu,berpegang teguh dengan Al-Quran,As-Sunnah serta petunjuk Salaf merupakan perisai yang paling ampuh bagi mengekang kesamaran serta syubhat-syubhat yang dibawa oleh iblis dan tentera-tenteranya syaitan sama ada dikalangan jin mahupun manusia.
3. Menyeru kepada kejahatan dan perkara yang keji (seperti zina,liwat dan sebagainya) serta membangkitkan syahwat(kelazatan) dalam perkara maksiat.
Sesungguhnya inilah jalan yang paling banyak manusia terjerat dan terperangkap di dalamnya.Ketahuilah syahwat antara perkara yang paling mudah digunakan oleh iblis dan tentera-tenteranya untuk menyesatkan manusia.Kita lihat di zaman sekarang berapa ramai yang terlibat dengan perzinaan,pelacuran dan sebagainya?.
Permulaan syahwat ialah dengan pandangan mata,kemudian berpindah kepada fikiran yang membangkitkan angan-angan,kemudian tangan tak putus-putus bermesej dan tak cukup bermesej teringin pula nak bertemu dan apabila nafsu menguasai diri dan apabila syahwat dan perasaan menggantikan tempat iman maka berlakulah perkara yang dibenci oleh Allah.Sesungguhnya iblis telah berjanji bahawa dia akan menyesatkan kita dengan membangkitkan angan-angan kosong seperti dirakamkan dalam al-Quran:
وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ
“Dan aku akan benar-benar menyesatkan mereka,dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka..” (an-Nisa`: 119)
Hendaklah perkara sebegini diambil perhatian,kadang-kadang kita melihat sesuatu perkara itu sebagai baik padahal ianya adalah perangkap syaitan.Sesetengah mereka sangat suka mendengar muzik dan lagu-lagu yang mengandungi lirik yang membangkitkan syahwat dan lagu yang melekakan kononya ianya dapat menenangkan perasaan padahal ianya hanyalah melalaikan dan menimbulkan angan-angan kosong.
Tidak kurang juga mereka yang menghalalkan muzik dan menggunakannya atas nama muzik islam,nasyid dan sebagainya,sebahagian mereka pula merasa tidak malu apabila menunjukkan aurat mereka di hadapan manusia,sanggup menjadikan tubuh-tubuh mereka sebagai bahan tontonan di khalayak ramai,bertabarruj di dalam internet,akhbar-akhbar dan majalah-majalah dan mereka merasakan perkara itu adalah baik bagi mereka.Sedangkan ianya hanyalah nikmat yang sementara.
4.Menakut-nakutkan dalam urusan agama sehingga berputus asa dengan rahmat Allah.
Apabila Iblis dan syaitan berjaya menjerumuskan seseorang terhadap kemaksiatan terhadap kepada Allah maka dia tidak hanya berhenti di situ malah dia akan menakut-nakutkan mereka yang berdosa dengan dosa mereka sehinggakan dia membuatkan mereka yang berdosa akan berputus asa daripada untuk bertaubat kepada Allah,sedangkan Allah membukakan pintu taubat bagi sesiapa yang mengharapkan keampunan dan rahmatNya.Firman Allah s.w.t:
وَالَّذِينَ كَفَرُوا بِآَيَاتِ اللَّهِ وَلِقَائِهِ أُولَئِكَ يَئِسُوا مِنْ رَحْمَتِي وَأُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ.
“Dan orang-orang yang kafir terhadap ayat-ayat Allah dan pertemuan dengan Dia, mereka putus asa dari rahmatKu, dan mereka itu mendapat azab yang pedih” (Al-Ankabut: 23)
Dan Allah berfirman lagi:
وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung” (an-Nuur: 31)
Dan Allah berfirman lagi:
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Az-Zumar:53)
Daripada Abu Hurairah radiallahu`anhu katanya:Nabi sallallahu`alaihiwasallam bersabda:
من تاب قبل أن تطلع الشمس من مغربها تاب الله عليه
“Barangsiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari sebelah barat maka Allah menerima taubatnya” (HR Muslim)
Dan daripada Abdullah ibnu Umar r.a katanya Nabi sallallahu`alaihiwasallam bersabda:
إنّ الله عزّوجلّ يقبل توبة العبد ما لم يغرغر
Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang hambaNya selagi nyawanya belum sampai di kerongkongan.
Semoga dengan apa yang disampaikan ini dapat memperingati diri kita semua dan semoga kita digolongkan dalam golongan orang-orang yang sentiasa berwaspada terhadap langkah-langkah syaitan untuk menyesatkan kita,semoga kita sentiasa termasuk di kalangan golongan yang selamat daripada tipu daya iblis dan tentera-tenteranya serta memasukkan kita dalam golongan yang sentiasa bertaubat dan kembali kepada Allah Ta`ala.
Yang Mengharap keampunanNya,

0 comments :

Post a Comment