"Salam" atau "Assalamu'alaikum"


Persoalan ini akan ditinjau melalui jendela Mazhab Syafie. Pandangan mazhab-mazhab lain, hanya akan disebut jika ada keperluan.

Dalam kitab al-Majmu', Imam Nawawi radhiyallahu 'anhu ada menyebut lafaz yang minima bagi ucapan salam. Beliau mencatatkan (al-Majmu', jil.4, ms.596) :

وأما أقل السلام ابتداء كأن يقول "السلام عليكم" أو "عليك" ان كان وحده أو "سلام عليكم" أو "عليك". ولو قال "عليكم السلام" فوجهان (أحدهما) أنه ليس بتسليم، وبه قطع المتولي (والثانى) وهو الصحيح أنه تسليم يجب فيه الجواب، وبه قطع الواحدى وإمام الحرمين وغيرهما، ولكن يكره الابتداء به، صرح بكراهته الغزالي في الاحياء. ودليله الحديث الصحيح عن أبى جرئ بضم الجيم تصغير جرو رضي الله عنه قال : "قلت : عليك السلام يا رسول الله. قال : لا تقل "عليك السلام" فان "عليك السلام" تحية الموتى. رواه أبو داود والترمذي وغيرهما بالاسانيد الصحيحة، قال الترمذي : حديث حسن صحيح.

Terjemahan : Adapun [lafaz] paling pendek bagi memulakan [ucapan] salam [adalah dengan seseorang] berkata "assalamu 'alaikum" (السلام عليكم) atau "[assalamu] 'alaika" (السلام عليك) jika [orang yang diucapkan salam kepadanya] seorang [individu tunggal]. Atau pun [dengan berkata] "salamun 'alaikum" (سلام عليكم) atau "[salamun] 'alaika" (سلام عليك) [jika orang yang ditujukan kepadanya salam adalah individu tunggal].

Jika [orang yang memulakan salam] berkata [ketika memberi salam] "'alaikumussalam" (عليكم السلام), maka [ada] dua pendapat, salah satunya, [lafaz ini] sesungguhnya tidak [dikira sebagai ucapan] salam. [Pendapat] ini diputuskan oleh al-Mutawalli.

[Pendapat] kedua, dan ia adalah [pendapat] yang sahih, [lafaz ini] sesungguhnya [dikira sebagai ucapan] salam [dan] wajib dijawab. [Pendapat] ini diputuskan oleh al-Wahidy, Imam al-Haramain dan lain-lain. Tetapi, makruh memulakan [salam] dengannya. [Imam] al-Ghazali menyatakan dengan jelas 'kemakruhan'nya dalam Ihya' [Ulumiddin].

Dalilnya [ialah] hadis sahih [yang diriwayatkan] daripada Abu Juri' [bahawa beliau] berkata : Aku berkata "'alaikassalam wahai Rasulullah. [Nabi saw] bersabda : Janganlah kamu berkata "'alaikassalam" [kerana] sesungguhnya [ucapan] "'alaikassalam" adalah [ucapan] penghormatan [kepada] orang-orang mati.

[Hadis ini] diriwayatkan oleh Abu Dawud, Tirmizi dan lain-lain dengan sanad-sanad yang sahih. Tirmizi mengatakan, "[hadis ini] hadis hasan sahih".
Kenyataan Imam Nawawi di atas merumuskan, lafaz ucapan salam yang paling minima ialah :

1. السلام عليكم/عليك atau dibuang ال daripada perkataan السلام menjadiسلام عليكم/عليك.

2. عليكم السلام. Walau bagaimana pun, menggunakan lafaz ini bagi memulakan salam, menurut pendapat yang sahih, adalah makruh. Namun, wajib dijawab salam orang yang memberi salam dengan menggunakan lafaz ini.Ringkasnya, dalam Mazhab Syafie, lafaz ucapan salam yang paling minima, dan wajib dijawab, hanyalah 3, iaitu :

1. السلام عليكم/عليك

2. سلام عليكم/عليك

3. عليكم السلام/عليك السلام

Justeru, ucapan salam dengan perkataan سلام (salam) atau السلام(as-salam) sahaja, tidak dikira sebagai ucapan salam. Ini kerana, ungkapan 'salam' atau 'as-salam' tidak mengcukupi kadar minima lafaz ucapan salam yang dinyatakan. Oleh itu, tidak wajib menjawab salam yang hanya menggunakan lafaz 'salam' sahaja.

Demikian pandangan Mazhab Syafie berhubung perkara ini.

Antara ulama yang menyatakan dengan jelas bahawa ungkapan 'salam' atau 'as-salam' tidak dikira sebagai ucapan salam, ialah Syaikh al-'Adawi, seorang ulama bermazhab Maliki.

Dalam karyanya, Hasyiah al-'Adawi 'Ala Syarh al-Kifayah al-Talib al-Rabbani, beliau mencatatkan (jil.8, ms.196) :

ويجوز الابتداء بلفظ الرد والرد بلفظ الابتداء ولا يجزئ السلام فقط بدءا وردا

Terjemahan : "Harus memulakan [salam] dengan lafaz menjawab [salam], dan [harus] menjawab [salam] dengan lafaz memulakan [salam], dan tidak memadai [lafaz] 'salam' sahaja bagi memulakan salam dan menjawab [nya]".

Dalil

Imam Nawawi tidak pula menyatakan secara jelas dalil kepada kenyataan beliau berhubung lafaz salam yang minima itu. Namun, daripada catatan beliau dalam Syarh Sahih Muslim(jil.14, ms.140), dapat disaring bahawa dalilnya ialah 'berpada dengan sunnah dalam soal ibadat'.

Justeru ucapan salam merupakan ibadat, maka lafaz yang digunakan bagi mengucapkan salam, mestilah menurut pengamalan Nabi saw dan perakuan Baginda s.a.w. Lafaz salam yang paling minima yang diperakui oleh Nabi s.a.w ialah 3 lafaz yang dinyatakan.

Berhubung lafaz 'assalamu 'alaikum' (السلام عليكم), dalil ia harus digunakan ialah :

عن عمران بن حصين رضي الله عنهما قال : جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال : السلام عليكم، فرد عليه ثم جلس، فقال النبي صلى الله عليه وسلم : عشر

Terjemahan : Daripada Imran Ibn Husain r.a [beliau] berkata : "Seorang lelaki datang [menemui] Nabi saw lantas berkata "assalamu 'alaikum". Lalu Nabi s.a.w menjawab [salamnya]. Kemudian si lelaki duduk. Lalu Nabi s.a.w bersabda, [baginya] sepuluh [kebaikan]".

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmizi. Imam Tirmizi menilainya sebagai hadis hasan.

Manakala lafaz سلام عليكم (salamun ‘alaikum) ia harus digunakan ketika memberi salam kerana tanwin pada huruf 'mim', berfungsi sebagai ganti kepada أل yang dibuang.

Dalil kepada keharusan penggunaan lafaz السلام عليك (assalamu ‘alaika) jika orang yang diberi salam adalah seorang individu tunggal, ialah ucapan salam kepada Nabi s.a.w yang diucapkan setiap muslim ketika membaca tasyahhud iaitu السلام عليك أيها النبي.

Manakala keharusan penggunaan lafaz عليكم السلام(‘alaikumussalam) tetapi makruh, dalilnya ialah hadis Ibn Juri' yang dinyatakan Imam Nawawi.

Pendapat Ibn Bazz

Walau bagaimanapun, ada ulama masa kini yang mengharuskan penggunaan lafaz 'salam' ketika memberi salam, iaitu Syaikh Ibn Bazz, bekas Mufti Arab Saudi.

Beliau berkata dalam Fatawa Nur 'Ala al-Darb :

ويكون السلام بلفظ التعريف: السلام عليكم، أو السلام عليك، ويجوز أن يكون بلفظ سلام عليك، وإن اقتصر على قوله: السلام، فلا بأس، فإن إبراهيم عليه الصلاة والسلام لما رد السلام على الملائكة حين قالوا: سلاما، قال: سلام أي عليكم سلام، وكذلك الابتداء يقول المسلم: سلام يعني سلام عليكم، أو السلام، يعني السلام عليكم، ولا بأس في هذا.

Terjemahan : [Ucapan] salam [dibolehkan] dengan lafaz khusus [iaitu] 'assalamualaikum' (السلام عليكم) atau 'assalamu 'alaika' (السلام عليك). Harus juga [memberi salam] dengan lafaz 'salamun 'alaika' (سلام عليك).

Jika [orang yang memberi salam] berpada dengan berkata 'assalam' (السلام), maka tidak mengapa kerana [Nabi] Ibrahim s.a.w ketika menjawab salam para malaikat yang mengucapkan [kepadanya] 'salama' (سلاما), [Baginda s.a.w] menjawab [dengan berkata], 'salam' (سلام), maksudnya ''alaikum salam' (عليكم سلام).

Demikian juga [ketika] memulakan [salam], seseorang muslim [boleh] berkata, 'salam' (سلام) yang maksudnya 'salamun alaikum' (سلام عليكم), atau [boleh juga berkata] 'assalam' (السلام) yang bermaksud 'assalamualaikum' (السلام عليكم). [Lafaz-lafaz ini] tidak ada masalah dalam soal ini".

Ini bermakna, menurut pandangan al-Allamah Syaikh Ibn Bazz, lafaz 'assalam' (السلام) atau 'salam' (سلام) boleh digunakan bagi memberi dan menjawab salam.

Kesimpulan

Namun, jika dilihat kepada kedudukan ucapan salam, iaitu satu perlakuan ibadat, dan prinsip dalam ibadat ialah ‘mengikut apa yang datang dari Nabi s.a.w’, boleh dirumuskan bahawa ucapan salam yang paling minima seperti yang dinyatakan, merupakan syariat Nabi Muhammad s.a.w berhubung soal ucapan salam ini.

Wallahu a’lam.. ^_^

0 comments :

Post a Comment