Saat cinta di dalam hati berkecai.
Putus cinta adalah detik pahit yang sudah tentu tidak mahu dirasai oleh semua orang. Namun dalam keengganan itu pun, ramai juga yang diuji dengan putus cinta di tengah jalan. Perhubungan yang dijaga dengan baik dan diletak pengharapan yang tinggi, tiba-tiba bertemu dengan pengakhiran berbentuk pengkhianatan, halangan keluarga dan sebagainya. Lalu diri merasa seolah hidup ini sudah tidak ada makna. Masa depan dirasakan gelap dan tiada lagi cahaya. Inilah realiti yang terpaksa ditempuh oleh orang yang putus cinta.
Maka artikel ini hadir sebagai mencetus motivasi kepada anda yang merasa putus cinta. Mudah-mudahan ia mampu membetulkan sudut pandang anda kepada ujian tersebut seterusnya mencetus suatu bentuk kekuatan tersendiri untuk anda meneruskan langkah. InsyaAllah.
PUTUS CINTA
Istilah ” putus cinta ” digunapakai dengan begitu meluas tanpa disedari maknanya dengan betul. Saya kurang bersetuju. Isu istilah ini walaupun dipandang kecil, tetapi sebenarnya telah banyak memberi kesan yang besar. Orang yang ditakdirkan hubungan mereka terputus di tengah jalan akan menggunapakai istilah ” putus cinta ” ke atas diri mereka , sekaligus menganggap bahawa hubungan yang terputus itulah sebenarnya ‘ cinta ‘. Ini silap.
Dalam Islam, cinta yang diiktiraf hanyalah cinta selepas perkahwinan. Akad nikah itu adalah bukti kesungguhan anda mahu merealisasikan sebuah cinta, bukan hanya di mulut. Ini kerana ramai yang sanggup berjanji itu dan ini demi menawan hati insan yang mereka sayang, namun apabila dibuka topik perkahwinan, mereka membisu seribu bahasa. Tahap tertinggi pembuktian segala kata dan janji itu adalah sebuah perkahwinan. Maka, apa yang diucap serta apa yang berlaku sebelum perkahwinan tidak boleh dikira sebagai cinta, sebaliknya ia cuma suatu bentuk keinginan, hasrat, minat, suka dan sebuah usaha.
Apabila dua insan cuba berusaha untuk bersatu atas nama cinta – iaitu perkahwinan – maka mereka akan diuji. Usaha untuk merealisasikan sebuah tuntutan agama yang sedemikian murni adalah suatu usaha yang dibenci oleh Syaitan. Ini kita harus ingat. Maka ujian ke atas usaha itu adalah Sunnatullah ( ketentuan Allah ) yang perlu diterima oleh semua orang. Barang yang baik dan berkualiti, sudah tentu perlu melalui proses-proses yang ketat dan teliti sebelum dikeluarkan. Begitu jugalah dengan ujian Tuhan.
Dalam tapisan ujian itulah, tersingkirnya sisa-sisa ataupun elemen-elemen yang bersifat negatif . Contoh kes yang berlaku :
Ada orang putus cinta kerana teman lelakinya curang dan keluar dengan perempuan lain. Teman lelakinya mengaku bosan dengan dirinya yang begitu tegas dan enggan menemaninya keluar bertemujanji. Maka ‘cinta’ yang kononnya selama ini dipertahankan putus di tengah jalan apabila dia ditinggalkan lelaki tersebut. Dalam kekalutan membendung rasa kecewa, dia merasa dunia gelap gelita. Seolah tiada masa hadapan, dan seolah memang yang terputus itulah ‘cinta’ nya yang sebenar.
Anda mungkin silap.
Ini kerana apa yang terputus itu sebenarnya hanya usaha anda untuk bersama si dia sahaja, bukan sebuah cinta yang sebenar. Anda mengaku menyukai lelaki tersebut dan demikian juga lelaki tersebut mengaku suka dan sayang kepada anda. Namun kedua-dua anda belum diuji. Cakap sahaja belum mencukupi. Maka datanglah ujian dalam bentuk godaan Syaitan, contohnya. Dicucuk-cucuk hati sang lelaki supaya membawa anda keluar berdua-duaan. Apabila anda tidak bersetuju, dihasut pula bahawa anda adalah gadis yang kolot dan tidak memahami jiwa lelaki. Banyak lagi hasutan dan bisikan lain daripada Syaitan yang mana jika si lelaki tidak kuat keimanannya, akhirnya bisikan-bisikan tersebut akan diterima. Lalu dia mendesak anda kepada perbuatan-perbuatan maksiat sedangkan anda bertegas dengan larangan agama. Bosan dengan sikap anda, dia mencari orang ketiga.
Dalam kes ini, jika perhubungan anda dan dia putus di tengah jalan, ia tidak bermakna ‘cinta’ anda yang putus. Apa yang terputus itu adalah usaha anda berdua ke atas suatu perhubungan, itu sahaja. Bahkan anda dan dia sama sekali tidak tahu apakah wujud jodoh antara kalian atau tidak. Justeru, jika bertemu kegagalan, ia tidak bermakna anda sudah tiada peluang di masa hadapan.
Apatah lagi jika kegagalan itu berpunca dari ketegasan anda terhadap agama.
Perbetulkan persepsi dengan cara memperbetulkan istilah. Yakinkan diri anda bahawa anda tidak putus cinta, cuma usaha anda ke atas perhubungan tersebut sahaja yang masih tidak bertemu kejayaan. Hakikatnya, Allah Maha Tahu apa yang terbaik untuk anda. Mungkin bukan dengan dia, mungkin dengan yang lain.
CINTA TIDAK PUTUS
Sebenarnya, cinta yang sejati adalah cinta yang tidak akan putus. Jika suatu cinta itu putus di tengah jalan, maka itu bukanlah cinta sejati. Boleh jadi cinta jadi-jadian sahaja. Mengapa?
Kerana cinta yang sejati hanya cinta yang disandarkan kepada Allah. Cuba lihat di dalam Firman Allah ta’ala yang berbunyi :
” Dan orang-orang yang beriman itu adalah golongan yang paling hebat cinta mereka kepada Allah..”
Di dalam ayat tersebut, kalimah yang digunapakai adalah asyaddu yang membawa maksud ‘paling dahsyat atau paling hebat’. Dalam ilmu bahasa Arab, penggunaan kalimah tersebut dipanggil sebagai ism tafdhil yang bermaksud kata nama yang menggambarkan kelebihan paling maksima. Kalimah kabir bermaksud ‘besar’ manakala kalimah akbar membawa maksud ‘paling besar’. Sama juga, kalimah syadid bermaksud dahsyat atau hebat, manakala kalimah asyaddu membawa maksud ‘paling dahsyat atau paling hebat’.
Ini bertepatan dengan sabda Nabi s.a.w di dalam sebuah Hadith :
” Tiga perkara yang jika dimiliki maka akan dirasai kemanisan iman : Pertama menjadikan Allah dan Rasul sebagai Paling Dicintai berbanding selainnya. Kedua jika dia mencintai seseorang, maka cinta itu adalah kerana Allah. Ketiga merasa benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia tidak mahu dirinya dicampak ke dalam api.
Apa yang ingin difokuskan di sini adalah, cinta sejati itu adalah apabila kita mampu mencintai Allah lebih dari segala-galanya. Masalahnya di sini, ramai yang gagal mencintai Allah lebih dari orang lain. Ada yang mencintai makwe dan pakwe lebih dalam dari dia mencintai Allah. Inilah silapnya. Apabila jatuh hati kepada seseorang maka terus dianggap itulah cinta sejati yang hendak dipertahankan sampai mati.
Akhirnya apabila putus di tengah jalan, dikhianati , ditipu dan sebagainya, maka timbullah hasrat mahu bunuh diri, telan racun, terjun bangunan dan pelbagai lagi.
Mereka sebenarnya tersilap sewaktu langkah pertama lagi. Iaitu sewaktu membuka pintu hati untuk menerima seseorang, waktu itu di mana Allah dalam diri sendiri? Sejauh mana Allah dibesarkan? Sejauh mana cinta kepada Allah diberi? Jika proses pertama ini sudah gagal, maka tidak hairanlah jika perhubungan pun tidak bertemu kejayaan.
BUKTI
Baik, apa buktinya cinta Allah itu cinta yang sejati?
Ada yang tidak percaya. Ini soal keimanan. Iman ini perlu diri sendiri percaya, ia perlu disiram dan dibaja sendiri oleh tuan punya badan. Dan iman ini manisnya boleh dirasai. Bagaimana?
Saat anda putus cinta, anda tentu rasa bagai hilang segalanya bukan? Anda hilang fokus, hilang arah tuju. Makan tak lalu, kerja tak menentu, fikiran bercelaru. Banyak masa dihabiskan dengan termenung, menangis, termenung dan menangis.
Namun, ketika anda berdiri di sejadah dan mengangkat tangan menadah doa, masihkah anda merasai keserabutan yang sama? Tidak.
Anda akan merasa tenang yang amat. Suatu ketenangan yang tidak diperolehi daripada orang lain. Waktu anda seronok dilamun cinta pun, anda tidak merasai manisnya ketenangan tersebut. Tetapi di hadapan Allah, anda merasainya. Ketika anda bertemu dengan kecewa, patah hati, putus asa dan sebagainya, maka Allah lah tempat yang anda tuju.
Terbukti, Dia ada segalanya.
Dengan Dia, anda merasa cukup. Anda merasa kaya. Anda merasa mulia. Anda merasa hidup anda bercahaya. Dan Dia tidak menghalau anda dari merintih menangis kepadaNya. Dia masih terbuka menerima anda. Biarpun di waktu anda seronok dilamun cinta dahulu, Dia tidak pernah anda ingat. HakNya jarang-jarang anda beri. Anda melebihkan manusia yang kononnya anda sayang dan kononnya boleh membahagiakan anda.
Kini manusia itu adalah manusia yang paling anda benci. Kalau boleh, anda mahu berpindah ke dunia lain asalkan bukan dunia yang sama dengan manusia tersebut. Anda cemburu dengan kebahagiaannya, anda benci dengan kepura-puraanya, anda marah dengan pengkhianatannya, namun anda tidak tahu apa yang boleh anda buat. Segala yang terlintas di fikiran tidak mendatangkan ketenangan jiwa kepada anda.
Bertemu Allah, hati anda automatik reda. Sedikit demi sedikit anda merasa damai, apatah lagi apabila kalamNya dialunkan dengan penuh rasa kesal dan insaf. Dalam tangisan anda itu , Allah hadirkan rasa tenang yang luar biasa. Ternyata, Dia tidak berdendam dengan anda. Dia ampunkan kesilapan anda. Dia masih mahu menyayangi anda.
Inilah bukti bahawa Cinta Sejati itu adalah cinta yang tidak pernah putus.
MOTIVASI
Rasa sakit hati, marah dan kecewa itu adalah fitrah seorang manusia. Namun jangan biarkan perasaan itu menguasai diri kita. Kelak ia akan mencetus binasa.
Bangkitlah dari rasa kecewa. Ingatlah bahawa Allah tidak suka kepada hambaNya yang berputus asa. Kegagalan yang berlaku dalam sesebuah hubungan, jadikan sebagai iktibar agar kesalahan yang sama tidak diulang pada masa yang mendatang. Jika kemudian hari anda mahu sekali lagi bercinta, maka berhati-hatilah dari langkah pertama lagi. Pasakkan CINTA yang kuat kepada Allah, kemudian barulah buka hati anda untuk manusia yang lain.
Jika ditakdirkan sekali lagi usaha anda gagal pun, anda tidak akan merasa kecewa. Ini kerana anda sedar, tahu dan yakin, bahawa sejauh mana pun anda pergi, Cinta Allah tetap bersama dengan anda.
Hentikan tangisan, mekarkan senyuman. Raihlah ketenangan dengan memberi kemaafan. Percayalah, Kasih Sayang Allah tidak pernah kunjung padam.
Sekian.
0 comments :
Post a Comment