Lelaki mesti ready dalam 10 aspek sebelum berkahwin.
Perkahwinan dapat diibaratkan seperti sebuah kapal yang belayar di tengah samudera kehidupan untuk menuju ke sebuah destinasi yang abadi iaitu kematian. Memang, jarang sekali kematian dikaitkan dengan perkahwinan tetapi itulah yang sering kita harapkan daripada pelbagai ucapan dan ungkapan iaitu semoga perkahwinan itu berakhir hanya dengan kematian dan bukannya perceraian atau terburai di tengah jalan.
Kita selalu mengucapkan kepada pasangan pengantin semoga berbahagia ke akhir hayat atau semoga kekal perkahwinan mereka sehingga ke anak cucu. Maksudnya semoga perkahwinan kalian itu kekal sehingga mati. Jika begitulah kehendaknya maka bagaimanakah seharusnya kita perlu bersedia dan bersiap diri sebelum menuju ke alam rumahtangga dan menjadi seorang suami kepada seorang wanita dan bapa kepada anak yang akan dilahirkan ?
Ramai lelaki tidak berfikir panjang dan bersedia bersungguh-sungguh untuk bernikah sebaliknya membiarkan diri mereka dikuasai oleh nafsu dan kehendak yang meluap-luap untuk segera menikmati keseronokan alam rumahtangga dan menjalani kehidupan baru sebagai suami isteri. Perbuatan ini selalu membawa penyesalan dan penderitaan yang berpanjangan baik kepada diri sendiri dan kepada orang lain. Membina rumah dari kayu dan papan pun boleh membawa bahaya dan musibah jika ianya tidak kukuh, kurang persediaan dan salah perancangan inikan pula jika membina sebuah kehidupan yang menampung pelbagai nyawa, hati dan perasaan tanpa persediaan, kemahiran dan pengetahuan yang mencukupi.
Bukan sahaja bahaya, bahkan derita, sengsara dan juga iman kerap kali menjadi mangsa dan dikorbankan oleh nafsu dan hasutan syaitan yang gemar mempermainkan pasangan-pasangan muda sehingga terjadi perceraian atau pergaduhan tanpa henti dan kehidupan masing-masing penuh dengan duka serta masa depan yang suram.
Perkahwinan ialah antara ibadah yang paling disukai oleh iblis dan syaitan untuk dirosakkan kerana kesannya bukan sahaja kepada individu terbabit bahkan mampu menjadi krisis yang besar dan mengundang pelbagai dosa sampingan yang lain seperti permusuhan, perebutan hak, fitnah dan sebagainya.
Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan sebuah hadis daripada Jabir ra yang menyebutkan bahawa Rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda yang bermaksud :“Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas lautan. Kemudian dia mengirimkan bala tenteranya untuk menghasut manusia melakukan kejahatan. Orang bawahan yang paling hampir kedudukannya dengan iblis adalah yang menimbulkan fitnah paling besar kepada manusia. Seorang daripada mereka datang dan berkata, ‘Aku telah melakukan ini dan itu.’ Lalu Iblis pun menjawab : ‘Engkau belum melakukan apa-apa lagi yang besar.” Nabi sallallahualaihi wasallam melanjutkan, “Lalu datanglah seorang daripada mereka dan berkata, “Aku telah mengikuti manusia sehingga aku tidak meninggalkan mereka melainkan dalam keadaan aku telah berhasil memisahkan seorang suami dan isterinya.’’ Lalu iblis pun memanggilnya agar dia dekat dengan Iblis dan berkata, “Sebaik-baik fitnah adalah usaha yang telah engkau lakukan.” (Hadis Sahih riwayat Muslim)
Perkahwinan adalah amat berkait rapat dengan aqidah seperti baju dengan jarum. Walaupun baju adalah sejenis pakaian dan diperbuat daripada kain manakala jarum pula adalah besi yang berasal daripada logam namun hubungkait antara keduanya amat sinonim kerana tanpa jarum maka baju itu tidak akan dapat dijahit sama sekali.
Begitulah aqidah dan perkahwinan.
Aqidah ialah ikatan antara seorang hamba dengan tuhannya dan syaitan pasti akan melonggarkan ikatan tersebut dan berusaha merungkaikannya. Di sisi orang yang beriman, perkahwinan akan menjadi alat untuk mengukuhkan ikatan tersebut apabila hubungan suami isteri, kasih sayang dan hubungan kekeluargaan yang terbina dapat menjadi nikmat dan kekuatan kepada diri masing-masing di dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Namun bagi mereka yang lemah imannya maka perkahwinan akan menjadi alat kesukaan syaitan yang dipermainkan untuk menyesatkan manusia. Waktu itu, suami isteri, anak-anak akan bertukar menjadi fitnah dan penyebab kerosakkan dan pemutus hubungan dengan tuhannya.
Berapa ramai pasangan yang bergaduh dan bercerai kemudian menjadi berputus asa terhadap rahmat Allah dan semakin jauh daripadaNya ? Berapa ramai pula alim ulama dan pendakwah yang mengabaikan perjuangan kerana masalah rumahtangga dan isu kekeluargaan yang menimpa dirinya ?
Itulah fitnah yang perlu diawasi oleh orang yang beriman.
Oleh yang demikian, persediaan sebelum perkahwinan adalah amat mustahak dimiliki oleh setiap pasangan khususnya bakal-bakal suami dan lelaki yang akan menjadi ketua keluarga dan pemimpin dalam kehidupan isteri dan anak-anaknya.
Al-Quran dan As-sunnah telah memberitahu kita tentang pelbagai persediaan yang perlu dilakukan oleh para pemuda sebelum melangkah masuk ke alam perkahwinan. Di antara semua senarai persediaan yang banyak itu terdapat 10 persediaan yang paling penting untuk diperhatikan dan diusahakan oleh anak-anak muda sebelum menyahut gelaran sebagai seorang suami.
1. Memiliki aqidah yang sahih
Aqidah yang sahih bermaksud ikatan kepercayaan dan pegangan di antara seorang hamba dan Allah SWT yang terjalin secara benar dan sah disisi agama melalui pertunjuk Al-Quran dan As-sunnah yang sahih. Hal ini menjadi asas dan perkara yang paling penting dan utama dimiliki oleh seorang muslim sebelum melakukan sebarang urusan keagamaan yang lain.
Firman Allah SWT : “Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik dengan wanita-wanita mukmin sebelum mereka beriman. Sesungguhnya hamba lelaki yang mukmin itu adalah lebih baik dari orang lelaki yang musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedangkan Allah mengajak kamu ke syurga dan keampunan dengan izin-Nya.” (Al-Baqarah : 221)
Sebelum bernikah dan mendirikan rumahtangga maka hendaklah seseorang anak muda atau lelaki itu berusaha membersihkan aqidahnya dari sebarang kesalahan dan kesilapan dan berusaha memperkukuhkan keimanan dan keyakinannya kepada Allah SWT menurut ajaran Al-Quran dan As-sunnah.
Buah dari aqidah yang benar ialah tauhid yang tulus dan suci serta bersih daripada syirik dan kekufuran. Inilah yang mesti dimiliki sebelum memasuki gerbang pernikahan agar pasangan atau isteri serta ahli keluarga terselamat dari kesesatan dan diredhai oleh Allah SWT.
2. Mempunyai tujuan dan perancangan hidup
Perkahwinan ialah alat atau wasilah dan bukanlah merupakan matlamat hidup seseorang. Apa yang berlaku dalam perkahwinan ialah dua insan menjadi pasangan dan hidup bersama secara halal.Perkahwinan tidak akan mengubah hidup seseorang menjadi lebih baik atau lebih buruk sebaliknya perkahwinan adalah alat yang bergantung kepada cara seseorang itu menggunakannya untuk mencapai sesuatu tujuan.
Daripada Amirul Mukminin, Umar bin Khattab ra yang berkata : Aku mendengar rasulullah salallahu alaihi wasalam bersabda :“Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat dan setiap amalan itu dibalas menurut apa yang ia niatkan. Barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan rasul-Nya maka hijrahnya itu ialah kepada Allah dan rasul-Nya dan barangsiapa yang hijrahnya itu untuk tujuan dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu ialah kepada apa yang diniatkan olehnya.” (hadith riwayat Muslim)
Seperti kereta ia adalah kenderaan yang boleh dipandu ke mana-mana yang kita mahu tetapi kitalah yang mesti menetapkan arah tuju dan destinasinya. Kereta itu tidak boleh bergerak sendiri atau membawa kita ke mana-mana jika kita tidak memandunya atau tidak mengetahui arah tuju yang harus diambil. Perkahwinan ialah seperti kereta yang tidak akan bergerak ke mana-mana tanpa mempunyai hala tuju dan matlamat yang jelas.
Maka adalah penting bagi suami dan seorang bapa untuk memimpin keluarganya menuju ke sebuah destinasi dan matlamat tertentu dengan menggunakan perkahwinan dan keluarganya sebagai kenderaan. Oleh itu sebelum melangsungkan pernikahan hendaklah dipastikan kita memiliki matlamat dan tujuan jelas yang mahu dicapai dari perkahwinan ini agar ianya dapat membantu kita memimpin dan memandu perkahwinan menuju ke matlamat yang dimahukan.
3.Mempunyai asas kekuatan jiwa dan kawalan diri
Kekuatan jiwa bermaksud kekuatan hati dan keperibadian yang dimiliki oleh seseorang yang dapat menyebabkan dia mampu mengawal dirinya dan kuat menghadapi dugaan dan cabaran dalam kehidupan. Antara asas kekuatan jiwa yang paling mustahak untuk dimiliki oleh seseorang lelaki sebelum melangkah ke alam perkahwinan ialah seperti kesabaran dan kawalan diri dari melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
Kita perlu memahami bahawa dalam perkahwinan, suami mempunyai kedudukan yang tinggi dan penting. Kebahagiaan isteri dan neraka mereka adalah bergantung kepada sikap suami dan kekuatan peribadi sang lelaki dalam mengawal diri. Jika suami seorang yang pemarah, kaki pukul dan gagal mengawal diri maka banyak bahaya dan kemudharatan dikhuatiri akan menimpa pihak isteri yang boleh mengakibatkan kehancuran rumahtangga dan pelanggaran hukum Allah SWT.
Daripada Abu Said Al-Khudri ra bahawa rasulullah SAW pernah bersabda :
لا ضرر ولا ضرار
“Tidak boleh melakukan kemudharatan dan tidak pula boleh mengundang kemudharatan (melalui perbuatan yang dilakukan).” (hadis hasan riwayat Daruquthni, Al-Hakim dan Baihaqi)
Adalah haram menikahi seorang wanita dengan niat untuk melakukan kemudharatan terhadap dirinya atau dalam keadaan tidak bersedia dan tidak mampu untuk memenuhi keperluannya sehingga menyebabkan kesusahan dan mudharat kepada agama, nyawa, akal dan maruah serta hartanya yang dipelihara oleh Islam. Oleh yang demikian persediaan kekuatan jiwa dan kawalan diri sebelum berkahwin ialah wajib dimiliki oleh setiap lelaki muslim agar diri mereka layak menjadi pemimpin dan ketua keluarga yang berkemampuan menegakkan hukum Allah SWT dalam rumahtangga mereka.
4. Mampu membaca kitab Allah dan sunnah rasul-Nya
Tidak ada petunjuk selain petunjuk Allah dan Rasul-Nya dan petunjuk tersebut hanya akan dapat diperolehi jika kita mampu membaca dan memahami isi kandungan kitab Allah SWT dan sunnah rasul-Nya. Sebagai ketua keluarga, lelaki Muslim bertanggungjawab membawa ahli keluarganya ke jalan Allah SWT dan menyelamatkan mereka dari menjadi bahan bakar api neraka.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (At-Tahrim : 6)
Adalah menjadi syarat yang penting bagi seorang bapa dan wali kepada perempuan untuk memastikan calon suami kepada anak-anak gadis mereka mampu membaca kitab Allah dan boleh merujuk kepada sunnah rasululullah salallahualaihiwassalam. Sekurang-kurangnya dia mampu menguasai bacaan Al-Quran dengan baik dan boleh menjadi Imam dalam keluarganya, mampu membuka tafsir dan merujuk kitab-kitab tafsir atau kitab terjemahan untuk mempelajari maksud-maksud ayat-ayat Allah SWT dan mengambil pelajaran daripadanya.
Juga dia mampu untuk membaca hadith-hadith rasulullah salallahualaihiwassalam dan boleh mencari rujukan dan pelajaran dari hadith-hadith tersebut walaupun dengan bantuan kitab-kitab terjemahan dan buku-buku hadith yang ringkas seperti hadith 40 karya Imam Nawawi atau Riyadhus Solihin bagi mengajarkan ahli keluarganya kehidupan menurut sunnah rasulullah salallahualaihiwassalam.
5. Mengetahui tentang halal dan haram dan cara beribadah (fardhu ain)
Seorang lelaki yang telah mukallaf dan berhasrat untuk bernikah wajib mengetahui perkara yang halal dan haram dalam agama serta cara untuk menunaikan ibadah kepada Allah SWT yang disebut sebagai ilmu fardhu ain sebelum dirinya layak untuk bernikah dan menjadi ketua keluarga. Hal ini amat penting kerana tanpa mengetahui apa yang halal dan haram, bagaimana dia akan mampu untuk membimbing isterinya dan menunaikan kewajipannya sebagai suami mahupun sebagai hamba Allah ?
Hubungan suami isteri seperti apa yang dibenarkan dan diharamkan, cara bersuci, cara solat dan seluruh perkara yang melibatkan halal dan haram menurut Islam perlu diketahui oleh seorang mukallaf sebelum menjejakkan kakinya ke alam perkahwinan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka". (Al-A'raf : 157)
Apa yang perlu diketahui oleh seorang lelaki itu sebelum bernikah ialah perkara-perkara asas dan hukum halal dan haram yang telah jelas dari Al-Quran dan As-sunnah. Hal ini tidak semestinya dihafal atau dikuasai di dalam kepala tetapi bermaksud dia mampu mencari rujukan, membaca buku atau boleh mendapatkan pengetahuan tentang halal dan haram apabila berdepan dengan sesuatu situasi. Namun adalah lebih baik seorang Muslim itu bersedia dan mengetahui tentang apakah perkara yang dihalalkan dan diharamkan oleh Allah SWT kerana hal itu termasuk dalam perintah untuk menuntut ilmu dan mencari petunjuk.
6. Mempunyai kesihatan yang baik
Kesihatan yang baik ialah merupakan perintah agama dan menjadi salah satu sifat dan kelebihan kepada orang yang beriman. Islam amat mementingkan penjagaan makan, kesihatan diri seperti kebersihan dan kecergasan badan. Ini boleh dilihat di dalam sebuah hadith yang menyebut sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah." (Hadis Riwayat Muslim)
Persediaan kesihatan sebelum bernikah bermaksud menjaga diri daripada penyakit berjangkit, virus dan kuman berbahaya serta apa-apa yang boleh memudharatkan pihak isteri dan keluarga yang akan dibina. Selain daripada itu hendaklah seorang lelaki muslim menjaga kesihatannya seperti bersenam, menjaga pemakanan agar dirinya tetap sihat dan segar untuk pernikahan dan tidak menjadi beban kepada keluarga atau isterinya selepas bernikah.
Ada orang yang tidak menjaga kesihatannya sehingga mendapat penyakit berbahaya dan menyusahkan seperti jantung, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Hal ini akan menganggu hubungan suami isteri dan menjadi beban dalam perkahwinan apabila ianya tidak dijaga dan diselia dengan baik. Kesihatan adalah rezeki dan anugerah daripada Allah SWT tetapi hendaklah dicapai dengan usaha dan disiplin diri dalam menjaga makan dan minum serta rajin bersenam dan memelihara kebersihan diri.
7. Mempunyai pengetahuan tentang seks dan mampu melakukannya dengan betul
Hubungan seks ialah salah satu di antara tujuan penting perkahwinan iaitu untuk memuaskan fitrah dan nafsu di jalan yang halal. Oleh yang demikian mana-mana pasangan yang hendak mendirikan pernikahan perlulah mengetahui ilmu asas dan persediaan untuk memenuhi fitrah masing-masing secara halal dan baik serta bersedia baik dari segi fizikal dan emosi.
Sebagai seorang lelaki muslim, dia perlu bersedia untuk memenuhi keperluan fitrah dirinya dengan cara yang betul dan bersedia untuk memenuhi keperluan isterinya pula dengan cara yang baik dan berkesan. Persediaan itu termasuk mengetahui biologi dan fitrah wanita seperti kitaran haid, penyakit-penyakit kelamin seperti masalah keputihan, isu hubungan badan seperti ransangan dan membangkitkan rasa ghairah sebelum jimak agar tidak wujud kesakitan kepada pihak isteri dan mampu menjadikan hubungan seks sebagai nikmat dan kegembiraan bukan masalah dan kesedihan.
Syeikhul Islam, Ibn Taimiyyah ra menyebutkan bahawa hendaklah seorang suami itu melakukan hubungan seksual dengan isterinya menurut cara yang mampu memenuhi keperluan isterinya selama ianya tidak membawa mudharat kepada fizikalnya.
Dalam hal ini para lelaki Muslim hendaklah bertanyakan kepada orang tua atau mereka yang arif tentang petua dan panduan yang boleh membantu mereka melayari perkahwinan dan memberi kepuasan kepada pihak isteri.
Dari ‘Ummul Mu’minin ‘Aisyah ra berkata: Rasulullah Salallahualaihiwassalam bersabda : “Sebaik-baik kalian adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya.” (Riwayat tirmidzi)
Keperluan seksual lelaki dan perempuan adalah berbeza serta cara masing-masing mencapai nikmat dan keseronokan juga adalah tidak sama maka hendaklah pihak lelaki dan bakal suami mempelajari dan menguasai pengetahuan ini agar dapat memberikan layanan yang terbaik kepada isteri masing-masing.
8. Mempunyai pekerjaan dan pendapatan serta tempat tinggal
Termasuk diantara syarat-syarat asas untuk mendirikan rumahtangga ialah pihak suami atau lelaki itu mempunyai kemampuan untuk memberikan nafkah dan memenuhi keperluan asas keluarganya serta menyediakan tempat tinggal yang selamat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu tinggal menurut kemampuan kamu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka.” (At-Talaq : 6)
Tidak disyaratkan untuk memiliki rumah yang besar atau mewah tetapi hendaklah ianya mampu melindungi keselamatan isteri dan auratnya serta dapat memberikan perlindungan dari hujan dan panas serta tidak memudharatkannya untuk menetap di dalamnya.
Oleh yang demikian maka para lelaki Muslim dan bakal suami hendaklah memiliki pekerjaan dan pendapatan yang mampu untuk membiayai sara hidup dan kehidupan isterinya bersama keluarga sebelum mendirikan pernikahan dengan cara bekerja atau berniaga.
Hal ini kerana Islam mementingkan persediaan dan pekerjaan bersungguh-sungguh bukan hanya meminta-minta dan mengharapkan bantuan atau sedekah tanpa usaha gigih yang bercanggah dengan sikap Islam.
Firman Allah SWT : “Dan Kami jadikan malam sebagai pakaian, dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan (sara hidup dan rezeki).” (An-naba : 10-11)
Diriwayatkan dari Zuba'ir bin Al Aawam dari Nabi SAW yang bersabda dengan bermaksud: "Sekiranya salah seorang daripada kamu membawa tali lalu pergi ke bukit untuk mencari kayu, kemudian dia memikul kayu tersebut untuk ke pasar dan menjualnya demi menjaga kehormatannya, maka nescaya hal yang demikian itu adalah lebih baik baginya daripada perbuatan meminta-minta kepada orang lain, baik dia diberi atau pun ditolak." (Hadith riwayat Bukhari)
9. Memiliki kekuatan untuk menjaga dan melindungi keselamatan isteri dan keluarga
Islam menjadikan lelaki sebagai pemimpin wanita kerana kekuatan dan kelebihan yang ada pada kaum lelaki untuk memelihara dan melindungi wanita. Sebelum bernikah, seseorang wanita itu akan berada dibawah pemeliharaan walinya yang bertanggungjawab ke atasnya. Namun apabila dia sudah menikah maka tugas untuk melindungi dan menjaga keselamatan dirinya, agamanya dan memelihara dirinya daripada bahaya dan fitnah adalah terletak di atas bahu suaminya.
Daripada Abdullah ibn Amru ibn As ra bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “Dan bagi isteri kamu itu mempunyai hak ke atas kamu.” (Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh yang demikian hendaklah bakal suami dan lelaki muslim yang akan bernikah bersedia menyiapkan diri dengan kekuatan dan kemampuan fizikal dan mental serta persediaan yang perlu untuk melindungi isterinya daripada bahaya dan gangguan manusia dan syaitan.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang terbunuh kerana membela harta yang dimilikinya maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana membela dirinya dari dibunuh oleh orang lain, maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya (agama Islam) matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya daripada diceroboh, matinya juga adalah mati syahid.” (Hadith riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
Di dalam hadith di atas menyebutkan bahawa mempertahankan keluarga termasuk di antara penyebab kepada mati syahid sebagai menunjukkan bahawa ianya adalah kewajipan dan tugas yang besar di sisi agama. Untuk melaksanakan tugas mempertahankan keluarga seperti yang disarankan oleh hadith di atas maka hendaklah lelaki Muslim atau bakal suami itu memiliki kekuatan dan persediaan.
Kekuatan di sini bukan sahaja bermaksud kekuatan fizikal tetapi juga kekuatan mental dan kebijaksanaan serta kemampuan baik dari sudut kewangan, kepandaian atau memiliki hubungan ramai dengan pihak yang mampu menghulurkan bantuan untuk membantu melindungi isteri dan keluarganya daripada sebarang bahaya dan fitnah.
10. Memiliki kemahiran asas dalam hidup
Rumahtangga ialah seperti kenderaan yang tidak berguna jika kita tidak tahu memandunya atau tidak tahu ke mana mahu dituju dengannya. Oleh yang demikian adalah penting bagi seorang pemandu yang mahu memandu keluarganya agar tahu dengan selok-belok kehidupan serta mempunyai kemahiran yang asas dalam pelbagai pengetahuan hidup seperti komunikasi, pertukangan, memperbaiki perkakasan rumah dan elektrik, menyelia kenderaan dan automotif atau mampu mengendalikan kecemasan dan rawatan cemas apabila diperlukan.
Hidup ini adalah misteri dan penuh dengan ujian dan dugaan. Kita haruslah mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran yang boleh membantu kita di dalam mendepani cabaran kehidupan apabila tibanya saat-saat yang memerlukan. Malang tidak pernah berbau seperti kata orang maka tidak rugi bahkan menjadi kewajipan untuk memiliki sekurang-kurangnya satu atau dua kemahiran asas dalam hidup yang dapat menjadi bekalan dalam memimpin keluarga dan rumahtangga.
Baginda rasulullah salallahualaihiwassalam sendiri amat mengalakkan umatnya belajar menunggang kuda, berenang dan memanah di zaman baginda. Pada hari ini kemahiran yang penting ialah seperti kemahiran IT, kaunselling, motivasi dan kemahiran pertukangan dan memperbaiki alatan elektrik dan menyelia kenderaan jika rosak di tengah jalan.
Antara kemahiran asas yang penting ialah kemahiran komunikasi dan kemahiran mendidik isteri dan anak-anak dengan berkesan atau kemahiran memujuk para isteri dan anak-anak apabila berlakunya masalah dan pergaduhan. Komunikasi boleh memberi kesan yang besar kepada perkahwinan jika tidak dijaga dengan baik dan diabaikan. Kemahiran bertukang dan berkebun pula boleh memberikan manfaat kepada pendapatan, manakala kemahiran seperti pengetahuan tentang kesihatan dan perubatan boleh membantu keluarga apabila berlakunya kecemasan dan kemalangan.
0 comments :
Post a Comment