Sejarah Ekor Serban.
Diriwayatkan di dalam sebuah hadis yang dinukilkan dari pendapat Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi r.a. bahawa suatu ketika RasulullahSallallahu Alaihi Wasallam terlambat menunaikan Solat Subuh sehingga mentari hampir terbit. Lalu Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam bersegera keluar untuk menunaikan Solat Subuh..
Selesai bersolat, Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada para sahabat r.a dengan maksudnya: “Duduk dulu di tempat masing-masing, adakah kamu mengetahui apa sebabnya aku terlambat pada hari ini?”.
Malam tadi aku bangun bersolat mengikut apa yang dikehendaki Allah SWT, kemudian aku merasa mengantuk lalu tertidur dan bermimpi melihat Allah Azza Wajalla Yang Maha Mulia dalam keadaan yang amat indah yang tak dapat digambarkan..
Allah berkata kepadaku: “Wahai Muhammad, adakah engkau mengetahui dalam perkara apa para malaikat diistimewakan?”
Aku menjawab: “Engkau saja yang mengetahuinya wahai Tuhanku (Aku ucapkan tiga kali).”.
Lalu Allah SWT meletakkan tangan kuasaNya yakni (rahmat) di antara kedua bahuku sehingga aku merasakan kesejukan di atas dadaku. Ia pun melimpahkan ilmu orang-orang terdahulu dan yang terkemudian kepadaku. Dengan sebab itu aku pun mengetahui apa yang di antara langit dan bumi serta mengenali setiap sesuatu..
Selepas itu Allah SWT bertanya: “Apakah engkau mengetahui dalam perkara apa para Malaikat berbantah-bantah?”
Aku menjawab: “Ya, aku tahu.”
Allah SWT bertanya: “Dalam perkara apa dia?”
Aku menjawab: “Dalam perkara yang boleh menghapuskan kesalahan (dosa) dan dalam perkara yang boleh menambah amalan.”
Allah SWT bertanya: “Dalam perkara yang boleh menghapuskan kesalahan (dosa) apa dia?”
Aku menjawab: “Membasuh anggota wuduk lebih hadnya di waktu musim sejuk di pagi hari bagi mengerjakan solat Subuh, melangkah kaki untuk menunaikan solat berjemaah dan menanti solat fardhu.”
Allah SWT bertanya: “Apa pula yang boleh menambah amalan.”
Aku menjawab: ““Menyedekahkan makanan, saling mengucapkan salam, solat di tengah malam ketika manusia sedang tidur dan sesiapa yang memeliharanya, ia akan hidup dengan baik, mati dengan baik dan keluar dari dosanya sebagaimana halnya pada hari ia dilahirkan ibunya.”
Allah SWT berkata: “Wahai Muhammad ! engkau telah Berjaya, maka berdoalah.”
Aku berkata: “Wahai Tuhanku ajarilah aku.”
Allah SWT berkata: “Apabila engkau selesai solat, katakanlah: “Ya Allah, aku bermohon kepadaMu untuk melakukan segala kebajikan, untuk meninggalkan segala kemungkaran, untuk mengasihani orang-orang miskin, supaya Engkau mengampuniku, mengasihiku dan memberi taubat kepadaku, Apabila Engkau berkehendak memberi fitnah kepada satu-satu kaum, maka genggamlah aku supaya tidak mendapat fitnah. Aku bermohon kepadaMu cinta kasih untuk menyintaiMu, dan menyintai amal yang boleh menghampirkanku kepada menyintaiMu. Dan jadikanlah aku menyintaiMu lebih dari kesukaan (harapan) kepada air.”
Kemudian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada kalangan orang yang mendengar syarahannya di masjid; “Kamu pelajarilah kalimat-kalimat ini dan kamu ajarkanlah, kerana ia adalah suatu kewajipan yang diperintah oleh Allah SWT.” (Menurut Imam Muhammad bin Said al-Bukhari; martabat hadis ini ialah sahih).
Oleh kerana itulah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam meletakkan ekor serbannya di antara kedua bahu sebagai merakam mimpi berkenaan dan untuk dijadikan peringatan terhadap apa yang diterima Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam ketika bermimpi. Maka Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam meletakkan ekor serbannya di tempat Allah SWT meletakkan tangan kuasa yakni (rahmat) di bahu belakangnya..Justeru, amalan sunnah (fadhoilul ‘amal) ini seterusnya diamalkan pula oleh ulama’-ulama’ dahulu kini dan In Sha Allah selama-lamanya..
Selamat beramal dan meneruskan kesinambungan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam!.
0 comments :
Post a Comment